Followers

Wednesday, January 21, 2009

Hilangkah Melayu Di Dunia Ini?

Laksamana Hang Tuah pernah berkata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia'. Pepatah yang sungguh dalam maknanya baik tersurat mahupun tersirat. Dengan megah dan penuh kebanggaan, Hang Tuah melaungkan pepatah itu pada masa dan era yang memperlihatkan bangsa Melayu ketika itu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia. Dengan keyakinan dan semangat membara, Hang Tuah berpendirian bahawa selagi bumi dipijak, tidak ada yang akan berani mengugat dan menggoncang kedaulatan dan ketuanan bangsa Melayu.

Namun, itu semua hanyalah satu sejarah. Sejarah yang melambangkan bahawa bangsa Melayu pernah dipandang tinggi dan mulia. Adakah pepatah itu mampu dipertahan hingga akhir zaman? Masih adakah kredibiliti bangsa Melayu di bumi sendiri? Persoalan inilah yang sering menjadi teka-teki dan sentiasa berlegar-legar di benak orang Melayu yang ingin kekal kedaulatan dan keMelayuannya.

Hakikatnya, tidak mustahil jika suatu hari nanti akan lenyap bangsa Melayu dan hilang kedaulatannya di muka bumi ini. Puncanya bukanlah hadir dari luar tetapi ianya ada dan sedang ligat menyerang dari dalam yakni di kalangan bangsa Melayu sendiri. Dan di penghujung akan berlaku perpecahan dan porak peranda yang akan menghakis dan mengikis bangsa Melayu sedikit demi sedikit hingga akhirnya bangsa Melayu akan dipijak dan lenyap dari mata dunia.

Kenapa saya berpendapat bahawa puncanya ada di dalam bangsa Melayu itu sendiri? Realitinya tak lain dan tak bukan bertitik tolak pada asalnya jua iaitu apa yang ada dan yang berlaku di dalam bangsa Melayu itu sendiri. Punca yang paling utama dan terbesar adalah datangnya dari sikap dan hati orang Melayu itu sendiri. Saya cuba senaraikan sikap buruk yang menjadi kudis dalam bangsa Melayu dan saya berdoa memohon kepada Allah agar dihindarkan sikap keji dari hinggap dalam hati saya.

1. Dengki dan iri hati.
Manusia yang ada sifat dengki dan iri hati akan sentiasa hidup tak tenang. Syaitan akan sentiasa menganggu gugat hatinya untuk melakukan penganiayaan ke atas perkara yang didengkikannya. Tidak kira samada cara baik mahupun cara yang bertentangan dengan hukum Allah. Maka akan timbul fitnah dan cerita keburukan yang dibuat-buat demi untuk menjatuhkan pihak yang didengkikannya. Hang Tuah sendiri pernah difitnah oleh pembesar Melaka gara-gara iri hati dan dengki kepadanya kerana menjadi kesayangan Sultan Melaka ketika itu. Mereka yang ada sifat dengki dan iri hati juga tidak mustahil akan mendekatkan diri dengan syaitan hingga sanggup melakukan perkara khurafat seperti sihir, santau dan lain-lain lagi. Akhirnya akan berlaku perpecahan, permusuhan dan pertelagahan yang akan membawa bangsa Melayu menjadi lenyap.

2. Sombong, riak dan bongkak.
Manusia acap kali terlupa bahawa setiap yang berada di atas muka bumi ini adalah hak milik Allah yang kekal. Kita yang berada di muka bumi ini hanyalah meminjam atas belas ehsan Allah. Sedangkan nyawa kita sendiri pun hanya dipinjamkan kepada kita dan satu hari nanti akan kembali kepada Yang Maha Berkuasa. Manusia yang sombong dengan kelebihan yang dimiliki hanya akan membuatkan masyarakat menjadi berpuak-puak berdasarkan darjat yang hanya ciptaan manusia. Dari sifat berpuak-puak inilah akan wujud perpecahan dalam masyarakat. Walhal semua manusia akan dimasukkan ke dalam lubang kubur yang sama dan akan dibangkitkan di hari Kiamat.

3. Tamak dan gelojoh.
Mungkin sudah menjadi trend masa kini yang mana setiap manusia seperti berlumba-lumba mengejar duniawi memandangkan taraf kehidupan yang kian meningkat dan semakin menghimpit masyarakat yang terkebelakang. Disebabkan inilah maka timbul sifat tamak dan haloba dalam mendapatkan sesuatu yang dihajati sehingga sanggup membelakangkanhukum samada halal dan haram. Ada juga yang sanggup mengambil sesuatu yang bukan menjadi haknya dan tak kurang juga yang sanggup menindas pihak yang lemah demi mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Mungkin sifat yang disebut di atas hanyalah faktor kecil yang boleh melenyapkan bangsa Melayu di dunia ini, tetapi jika tidak dibendung dan diubah dari sekarang, ia mampu menjadi nanah yang tidak boleh diubati lagi. Janganlah kita memandang rendah kerana sudah pasti kita tidak mahu menunggu hingga kaki kita dipotong sebelum mengambil langkah untuk berpantang dari mengambil makanan yang mengandungi gula berlebihan.

1 comments:

Anonymous said...

Melayu dah terhakis dan kalau masih tidak ada kesedaran maka tentunya Melayu akan hilang di dunia..

1. Melayu yg berdarjat atau kaya raya sudah tidak hidup cara Melayu. Dah hilanglah Melayu namanya.

2. Melayu yg berpendidikan tinggi dah mula melihat Melayu lain lemah. Dah terhakis budi bahasa orang Melayu.

3. Melayu yg dah pandai baca doa sikit pun
dah mula kata Melayu lain kurang Islam. Memandang rendah dan tak sayang pada Melayu.

Antara contoh2 yg Melayu terhakis dan akan hilang.

Proses ini akan dipercepatkan dengan kecelaruan politik Melayu sekarang ini.

Post a Comment