Followers

Wednesday, March 25, 2009

Memahami Kapitalisma

Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam duna ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.


Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kejahatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.


Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global - semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dam memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.

Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. TT

0 comments:

Post a Comment