Salam Kamunting, Tak kiralah samada pemimpin kita itu ulama atau profesional, yang penting dia bertaqwa. Jika taqwanya tercarik dengan sebab perlakuannya, kita pilih yang lain.
Pemimpin kita mesti bertaqwa. Mesti pula lebih taqwanya daripada kita pada andaian dan penelitian kita. Sebab, kita ini adalah umat taqwa. Taqwa adalah pencarian kita di dunia yang tertinggi. Taqwa adalah bekalan kita yang satu – satunya ke akhirat nanti. Maka pemimpin kita hendaklah orang yang boleh menunjuki kita kepada taqwa.
Justeru pemimpin kita mestilah taqwanya lebih baik daripada kita. Suluhannya lebih tajam melihat ke depan, lalu pimpinan dan panduannya jadi mudah, tepat dan tak terpesong. Barulah kita jadi pengikut yang selamat, untung dan tak rugi.
Lihat ayat 74 surah al Furqan. Allah mengajar kita bagaimana memohon daripadaNya. Jika rajin, bacalah daripada ayat 63 sampai habis surah itu. Fahami bagaimana Tuhan kita merencana untuk kita hambaNya yang disayangiNya.
Kita diminta olehNya untuk memohon daripadaNya agar menjadi imam atau pemimpin kepada umat yang bertaqwa. Seawalnya adalah dikurniai isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang dek taqwa yang menyelubungi kehidupan sekeluarga. Bolehkah dibayangkan perkenan Allah untuk doa suami yang buruk perangai untuk memiliki keluarga taqwa?
Itulah jenis pemimpin idaman kita. Dia memimpin di dunia untuk kehidupan kita di akhirat. Dalam Islam, memilih pemimpin tanpa taqwa, walaupun rencam kebolehannya, adalah kerugian. Kerugian yang besar.
Sebabnya, kita terlalu memerlukan pemimpin. Kita perlukan nabi yang memimpin. Sahabat nabi yang memimpin. Pewaris nabi yang memimpin. Kita buta tanpa pemimpin. Kita hari ini, begitulah manusia sejak dahulu kala lagi.
Adalah Bani Israel, pemimpin mereka adalah para nabi. Itu perkhabaran nabi kita untuk kita agar kita mengenali wibawa pemimpin. Kerana itu mereka telah menjadi bangsa pilihan. Apabila mereka membohongi dan membunuh para nabi, mereka dilaknat dan disumpah menjadi bangsa terkutuk.
Kemudian kita datang untuk menjadi bangsa pilihan pula. Kerana kita dipimpin oleh sebaik – baik nabi. Nabi penghulu segala nabi.
Nabi adalah bapa taqwa. Tiada nabi, tiadalah taqwa. Begitu sifat taqwa memuncak nilainya dalam kepimpinan Islam. Nabi mewariskan taqwa untuk kita meneruskan kepimpinan pilihan di dunia ini.
*******
Ya, taqwa. Mudah atau payah, kita kena cari pemimpin bertaqwa. kalau rasa pemimpin bertaqwa tak penting, tak payah baca surah al Furqan. Eloknya, tak payah baca al Quran langsung. Jenis tak lekat ajaran!
Ya, memang susah nak cari pemimpin bertaqwa. Sebabnya, taqwa itu memang susah nak dapat. Sebabnya kerana taqwa itu diperolehi hanya dengan ilmu. Ilmu pula hendaklah diiktiraf Allah sebagai ilmu yang berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada taqwa!
Yang bertaqwa hanyalah yang berilmu. Yang berilmu tanpa iman dan taqwa adalah tidak berilmu. Sekadar antah, disisih beras dan nasi.
Semua ilmu boleh memandu kepada taqwa. Ilmu adalah kurniaan agung daripada Allah kepada manusia.
Mereka kata, ulama ialah yang ilmu wahyunya adalah rasmi. Ada sijil. Mereka kata, profesional adalah yang ilmu akalnya adalah rasmi. Ada sijil.
Jika begitu dipakai guna, maka samada pemimpin kita itu seorang ulama atau profesional, dia mampu untuk menjadi pemimpin bertaqwa. Sebab, samada ilmu itu naqli (wahyu) atau aqli (akal), ia boleh mencetus taqwa.
Kata saja begini, ulama apabila bertaqwa adalah profesional. Juga, profesional apabila bertaqwa adalah ulama. Titik temu adalah taqwa. Taqwa itu isi profesionalisme. Taqwa itu isi ulamaisme. Begitu tafsiran dan istilah ugama.
Terbaru, ayahanda kata, jika Namrud itu profesional, dia pasti terima Ibrahim alaihissalam! Saya tambah, jika Obama itu profesional, dia pasti terima Islam!
Jika anda enggan memahami agama dengan tafsiran ugama, anda akan merapu - rapu dalam membuat kesimpulan. Jika anda mengira si kafir adalah profesional, anda jahil. Ulama pun tidak, profesional pun tidak!
*******
Kemudian, mari saya bimbing anda kepada sesuatu yang lebih ke puncak.
Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah yang terbaik dan terpilih?
Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah merupakan kurniaanNya yang teragung?
Jawabannya adalah ilmu wahyu. Kenapa? Sebabnya ilmu wahyu adalah lebih cepat kepada taqwa. Ia lebih cepat menuju Allah dan mengenaliNya.
Justeru para nabi dikurniai ilmu wahyu. Ia milik nabi tanpa kongsi. Ilmu wahyu mesti daripada nabi. Kemudian ia dipindah milik kepada manusia yang dipilihNya untuk memperolehi kurniaan agungNya. Lihat asy Syura:52.
Nabi sallallaahu alaihi wasallam bersabda dalam hadis Sahih: ”Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan (yang banyak dan agung), pasti Allah menjadikannya faqih dalam ugama.” Agama adalah wahyu.
Ilmu wahyu, nabilah juara di depan. Ilmu aqli, tak semestinya nabi menjuarai. Kerana itu nabi bersabda, “Kamu lebih tahu perihal urusan duniawi kamu,” saat para sahabat mengadu kebun tamar yang kurang mengeluarkan hasil apabila cadangan awal nabi dipraktiskan.
Justeru anda akan menemui seorang miskin buta huruf di pedalaman jauh yang menangis di tengah malam kerana takutkan tuhannya. Dia tiada memiliki selain secubit ilmu wahyu yang diajar oleh guru ugama lepasan pondok ( yang tiada memiliki ilmu duniawi rasmi ) yang telah memperkenalkannya dengan tuhannya.
Tetapi anda boleh melihat seorang profesor di menara gading yang bertambunan sijil – sijil ilmu aqlinya, hari – hari kerjanya adalah menentang Allah dan rasulNya! Dia memiliki segalanya kecuali ilmu wahyu!
Setitik ilmu wahyu mungkin saja mencipta taqwa. Seluas lautan ilmu aqli pula tak mungkin mencipta taqwa kecuali selepas dititikkan dengan ilmu wahyu.
Ilmu naqli ( wahyu ) tidak memerlukan ilmu aqli sedang ilmu aqli memerlukan ilmu naqli untuk menuju tuhan.
Ilmu aqli membimbing anda mengenali wujud tuhan yang satu. Ilmu naqli menyudahkannya dengan berkata, yang satu itu adalah Allah!
*******
Mari membaca dan memahami sebahagian surah Fathir yang menjadi rujukan perihal ilmu,ulama dan taqwa.
Ayat 27 dan 28, Allah mengarahkan kita mengkaji dan memerah akal untuk memahami kemukjizatan alam semesta ciptaanNya. Hasilnya adalah ilmu yang mencetus taqwa! ” Sesungguhnya hanya yang takut pada Allah adalah ulama ( ilmuan ).”
Tetapi perhatikan awal ayat, “Tidakkah kamu lihat bahawa Allah…” Taqwa hanya terhasil apabila si pengkaji itu terlebih dahulu mengenal Allah. Jika tidak, dia pasti dalam kebingungan dan kehairanan sendirian tanpa jawaban melihat kehebatan alam semesta.
Anda mungkin mendengar bagaimana ramainya ahli sains barat dan timur hanya memeluk Islam selepas mereka mengenali Allah daripada pembacaan al Quran atau diperkenalkan oleh ulama Islam! Sebelum itu, bukankah mereka buntu?
Lihat, titikan ilmu wahyu menjadikan segalanya adalah emas!
Jangan berhenti di ayat 28, sehinggalah anda melihat ayat berikutnya.
Lihat pula ayat berikutnya, dari ayat 29 hingga 32. Allah memperincikan perihal manusia yang bertaqwa.
Dalam 4 ayat ini, Allah menyebut ‘KitabuLlah‘ ( al Quran ) sebanyak 3 kali!
Selepas penegasan bahawa taqwa itu milik para ulama ( hatta ulama sains ), Allah mengembalikan kita kepada nikmat membaca dan memahami al Quran ( ayat 29 ). Kemudian, Allah mempertegaskan al Quran sebagai sumber kebenaran dan al haq ( ayat 31 ). Akhirnya Allah memberitahu kita kepada siapakah al Quran itu diwarisi daripada al Rasul ( ayat 32) dan siapakah yang terbaik daripada mereka. Mereka yang menjuarai berpegang dengan al Quran disifatkan sebagai telah memperolehi kurniaan yang agung!
Begitulah taqwa. Ia bermula dengan al Quran dan berakhir dengan al Quran. Ditengahnya adalah segala ilmu aqli dan naqli yang saling memperkenalkan kita dengan tuhan, lalu mencetus taqwa.
Selepas anda memahami ini, bolehlah anda memahami saya ketika saya sering mengajak anda menjadikan ulama al Quran sebagai pemimpin.
Saya bermaksud bahawa kepimpinan mestilah ditunjangi taqwa. Kemuncak taqwa adalah apabila anda memahami kitab Allah sepenuhnya. Anda mesti memahami bahasa Arabiah sebaiknya kerana al Quran diturunkan dalam bahasa Arabiah sepenuhnya. Sebahagian keindahan al Quran adalah pada memahami bahasa itu. Sebahagian lagi adalah pada memahami ilmunya yang khusus seperti ulum tafsir, ulum hadis (penafsir al Quran yang pertama selepas al quran sendiri ), fiqh dan usulnya, selain kemuncaknya, iaitu ilmu merawat hati yang sakit dan mensejahterakannya.
Tidakkah memimpin manusia adalah memimpin hatinya? Dunia ini hancur rosak selepas hati manusia rosak. Dunia ini sejahtera apabila hati manusia telah sejahtera.
Siapa anda untuk berani berkata ulama al Quran tidak boleh memimpin dalam iklim politik negara hari ini? Siapa anda untuk berani mempertikaikan imej dan watak ulama tradisional?
Seperti saya sebutkan di atas, jika anda melihat pemimpin anda telah tercarik sifat taqwanya dengan penyakit – penyakit hati seperti cintakan dunia, cintakan jawatan, bohong, dengki, politik wang, rasuah politik, politik cantas, memfitnah dan sebagainya, tukarlah saja pemimpin sedemikian jika ada yang lebih baik.
Jika tiada, malanglah kita. Berdoakan semoga Allah mengurniakan kita pemimpin yang baik – baik yang memandu kita menuju Allah.