Followers

Saturday, May 30, 2009

Pemimpin Kita-oleh Tuan Guru Nik Aziz

Salam Kamunting, Tak kiralah samada pemimpin kita itu ulama atau profesional, yang penting dia bertaqwa. Jika taqwanya tercarik dengan sebab perlakuannya, kita pilih yang lain.

Pemimpin kita mesti bertaqwa. Mesti pula lebih taqwanya daripada kita pada andaian dan penelitian kita. Sebab, kita ini adalah umat taqwa. Taqwa adalah pencarian kita di dunia yang tertinggi. Taqwa adalah bekalan kita yang satu – satunya ke akhirat nanti. Maka pemimpin kita hendaklah orang yang boleh menunjuki kita kepada taqwa.



Justeru pemimpin kita mestilah taqwanya lebih baik daripada kita. Suluhannya lebih tajam melihat ke depan, lalu pimpinan dan panduannya jadi mudah, tepat dan tak terpesong. Barulah kita jadi pengikut yang selamat, untung dan tak rugi.

Lihat ayat 74 surah al Furqan. Allah mengajar kita bagaimana memohon daripadaNya. Jika rajin, bacalah daripada ayat 63 sampai habis surah itu. Fahami bagaimana Tuhan kita merencana untuk kita hambaNya yang disayangiNya.

Kita diminta olehNya untuk memohon daripadaNya agar menjadi imam atau pemimpin kepada umat yang bertaqwa. Seawalnya adalah dikurniai isteri dan zuriat yang sejuk mata memandang dek taqwa yang menyelubungi kehidupan sekeluarga. Bolehkah dibayangkan perkenan Allah untuk doa suami yang buruk perangai untuk memiliki keluarga taqwa?

Itulah jenis pemimpin idaman kita. Dia memimpin di dunia untuk kehidupan kita di akhirat. Dalam Islam, memilih pemimpin tanpa taqwa, walaupun rencam kebolehannya, adalah kerugian. Kerugian yang besar.

Sebabnya, kita terlalu memerlukan pemimpin. Kita perlukan nabi yang memimpin. Sahabat nabi yang memimpin. Pewaris nabi yang memimpin. Kita buta tanpa pemimpin. Kita hari ini, begitulah manusia sejak dahulu kala lagi.

Adalah Bani Israel, pemimpin mereka adalah para nabi. Itu perkhabaran nabi kita untuk kita agar kita mengenali wibawa pemimpin. Kerana itu mereka telah menjadi bangsa pilihan. Apabila mereka membohongi dan membunuh para nabi, mereka dilaknat dan disumpah menjadi bangsa terkutuk.

Kemudian kita datang untuk menjadi bangsa pilihan pula. Kerana kita dipimpin oleh sebaik – baik nabi. Nabi penghulu segala nabi.

Nabi adalah bapa taqwa. Tiada nabi, tiadalah taqwa. Begitu sifat taqwa memuncak nilainya dalam kepimpinan Islam. Nabi mewariskan taqwa untuk kita meneruskan kepimpinan pilihan di dunia ini.

*******

Ya, taqwa. Mudah atau payah, kita kena cari pemimpin bertaqwa. kalau rasa pemimpin bertaqwa tak penting, tak payah baca surah al Furqan. Eloknya, tak payah baca al Quran langsung. Jenis tak lekat ajaran!

Ya, memang susah nak cari pemimpin bertaqwa. Sebabnya, taqwa itu memang susah nak dapat. Sebabnya kerana taqwa itu diperolehi hanya dengan ilmu. Ilmu pula hendaklah diiktiraf Allah sebagai ilmu yang berguna. Ilmu yang berguna ialah ilmu yang membawa kepada taqwa!

Yang bertaqwa hanyalah yang berilmu. Yang berilmu tanpa iman dan taqwa adalah tidak berilmu. Sekadar antah, disisih beras dan nasi.

Semua ilmu boleh memandu kepada taqwa. Ilmu adalah kurniaan agung daripada Allah kepada manusia.

Mereka kata, ulama ialah yang ilmu wahyunya adalah rasmi. Ada sijil. Mereka kata, profesional adalah yang ilmu akalnya adalah rasmi. Ada sijil.

Jika begitu dipakai guna, maka samada pemimpin kita itu seorang ulama atau profesional, dia mampu untuk menjadi pemimpin bertaqwa. Sebab, samada ilmu itu naqli (wahyu) atau aqli (akal), ia boleh mencetus taqwa.

Kata saja begini, ulama apabila bertaqwa adalah profesional. Juga, profesional apabila bertaqwa adalah ulama. Titik temu adalah taqwa. Taqwa itu isi profesionalisme. Taqwa itu isi ulamaisme. Begitu tafsiran dan istilah ugama.

Terbaru, ayahanda kata, jika Namrud itu profesional, dia pasti terima Ibrahim alaihissalam! Saya tambah, jika Obama itu profesional, dia pasti terima Islam!

Jika anda enggan memahami agama dengan tafsiran ugama, anda akan merapu - rapu dalam membuat kesimpulan. Jika anda mengira si kafir adalah profesional, anda jahil. Ulama pun tidak, profesional pun tidak!

*******

Kemudian, mari saya bimbing anda kepada sesuatu yang lebih ke puncak.

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah yang terbaik dan terpilih?

Banyak – banyak ilmu, ilmu manakah merupakan kurniaanNya yang teragung?

Jawabannya adalah ilmu wahyu. Kenapa? Sebabnya ilmu wahyu adalah lebih cepat kepada taqwa. Ia lebih cepat menuju Allah dan mengenaliNya.

Justeru para nabi dikurniai ilmu wahyu. Ia milik nabi tanpa kongsi. Ilmu wahyu mesti daripada nabi. Kemudian ia dipindah milik kepada manusia yang dipilihNya untuk memperolehi kurniaan agungNya. Lihat asy Syura:52.

Nabi sallallaahu alaihi wasallam bersabda dalam hadis Sahih: ”Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan (yang banyak dan agung), pasti Allah menjadikannya faqih dalam ugama.” Agama adalah wahyu.

Ilmu wahyu, nabilah juara di depan. Ilmu aqli, tak semestinya nabi menjuarai. Kerana itu nabi bersabda, “Kamu lebih tahu perihal urusan duniawi kamu,” saat para sahabat mengadu kebun tamar yang kurang mengeluarkan hasil apabila cadangan awal nabi dipraktiskan.

Justeru anda akan menemui seorang miskin buta huruf di pedalaman jauh yang menangis di tengah malam kerana takutkan tuhannya. Dia tiada memiliki selain secubit ilmu wahyu yang diajar oleh guru ugama lepasan pondok ( yang tiada memiliki ilmu duniawi rasmi ) yang telah memperkenalkannya dengan tuhannya.

Tetapi anda boleh melihat seorang profesor di menara gading yang bertambunan sijil – sijil ilmu aqlinya, hari – hari kerjanya adalah menentang Allah dan rasulNya! Dia memiliki segalanya kecuali ilmu wahyu!

Setitik ilmu wahyu mungkin saja mencipta taqwa. Seluas lautan ilmu aqli pula tak mungkin mencipta taqwa kecuali selepas dititikkan dengan ilmu wahyu.

Ilmu naqli ( wahyu ) tidak memerlukan ilmu aqli sedang ilmu aqli memerlukan ilmu naqli untuk menuju tuhan.

Ilmu aqli membimbing anda mengenali wujud tuhan yang satu. Ilmu naqli menyudahkannya dengan berkata, yang satu itu adalah Allah!

*******

Mari membaca dan memahami sebahagian surah Fathir yang menjadi rujukan perihal ilmu,ulama dan taqwa.

Ayat 27 dan 28, Allah mengarahkan kita mengkaji dan memerah akal untuk memahami kemukjizatan alam semesta ciptaanNya. Hasilnya adalah ilmu yang mencetus taqwa! ” Sesungguhnya hanya yang takut pada Allah adalah ulama ( ilmuan ).”

Tetapi perhatikan awal ayat, “Tidakkah kamu lihat bahawa Allah…” Taqwa hanya terhasil apabila si pengkaji itu terlebih dahulu mengenal Allah. Jika tidak, dia pasti dalam kebingungan dan kehairanan sendirian tanpa jawaban melihat kehebatan alam semesta.

Anda mungkin mendengar bagaimana ramainya ahli sains barat dan timur hanya memeluk Islam selepas mereka mengenali Allah daripada pembacaan al Quran atau diperkenalkan oleh ulama Islam! Sebelum itu, bukankah mereka buntu?

Lihat, titikan ilmu wahyu menjadikan segalanya adalah emas!

Jangan berhenti di ayat 28, sehinggalah anda melihat ayat berikutnya.

Lihat pula ayat berikutnya, dari ayat 29 hingga 32. Allah memperincikan perihal manusia yang bertaqwa.

Dalam 4 ayat ini, Allah menyebut ‘KitabuLlah‘ ( al Quran ) sebanyak 3 kali!

Selepas penegasan bahawa taqwa itu milik para ulama ( hatta ulama sains ), Allah mengembalikan kita kepada nikmat membaca dan memahami al Quran ( ayat 29 ). Kemudian, Allah mempertegaskan al Quran sebagai sumber kebenaran dan al haq ( ayat 31 ). Akhirnya Allah memberitahu kita kepada siapakah al Quran itu diwarisi daripada al Rasul ( ayat 32) dan siapakah yang terbaik daripada mereka. Mereka yang menjuarai berpegang dengan al Quran disifatkan sebagai telah memperolehi kurniaan yang agung!

Begitulah taqwa. Ia bermula dengan al Quran dan berakhir dengan al Quran. Ditengahnya adalah segala ilmu aqli dan naqli yang saling memperkenalkan kita dengan tuhan, lalu mencetus taqwa.

Selepas anda memahami ini, bolehlah anda memahami saya ketika saya sering mengajak anda menjadikan ulama al Quran sebagai pemimpin.

Saya bermaksud bahawa kepimpinan mestilah ditunjangi taqwa. Kemuncak taqwa adalah apabila anda memahami kitab Allah sepenuhnya. Anda mesti memahami bahasa Arabiah sebaiknya kerana al Quran diturunkan dalam bahasa Arabiah sepenuhnya. Sebahagian keindahan al Quran adalah pada memahami bahasa itu. Sebahagian lagi adalah pada memahami ilmunya yang khusus seperti ulum tafsir, ulum hadis (penafsir al Quran yang pertama selepas al quran sendiri ), fiqh dan usulnya, selain kemuncaknya, iaitu ilmu merawat hati yang sakit dan mensejahterakannya.

Tidakkah memimpin manusia adalah memimpin hatinya? Dunia ini hancur rosak selepas hati manusia rosak. Dunia ini sejahtera apabila hati manusia telah sejahtera.

Siapa anda untuk berani berkata ulama al Quran tidak boleh memimpin dalam iklim politik negara hari ini? Siapa anda untuk berani mempertikaikan imej dan watak ulama tradisional?

Seperti saya sebutkan di atas, jika anda melihat pemimpin anda telah tercarik sifat taqwanya dengan penyakit – penyakit hati seperti cintakan dunia, cintakan jawatan, bohong, dengki, politik wang, rasuah politik, politik cantas, memfitnah dan sebagainya, tukarlah saja pemimpin sedemikian jika ada yang lebih baik.

Jika tiada, malanglah kita. Berdoakan semoga Allah mengurniakan kita pemimpin yang baik – baik yang memandu kita menuju Allah.

Saturday, April 4, 2009

15 DALIL UMNO PENDERHAKA SEBENAR!





1. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar di buang daripada istana Johor pada tahun 1920 dan membawa diri ke Singapura kerana mengkritik Sultan atas isu harta dan hutang keluarga beliau.

2. Pada tahun 1974 Tan Sri Ghazali Jawi, ayah kepada Datuk Seri Tajol Rosli enggan meletak jawatan Menteri Besar Perak, walaupun perjanjian asalnya beliau hanya mahu memegang jawatan tersebut selama dua tahun sahaja. Sampai masa beliau mungkir janji menyebabkan Sultan Idris murka. Baginda bernazar tidak mahu bercukur jambang selagi Ghazali tidak mahu melepaskan jawatannya. Bukan ini derhaka namanya. Tiba-tiba sahaja Tajol Rosli berkata Umno tidak pernah derhaka. Kalau begitu apa tafsiran tindakan bapanya itu?

3. Pada tahun 1979, Menteri Besar Pahang ketika itu, Datuk Abdul Rahim Bakar berselisih faham dengan Sultan Pahang. Media pro Umno mengkritik Sultan secara terbuka.

4. Pada 1983 Umno mengurangkan kuasa YDP Agong berhubung pengisytiharan darurat. Apabila Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan tersebut Umno membelasah institusi raja melalui media kawalannya.

5. Semasa Perhimpunan Agung Umno pada 1991 Sultan Kelantan dikritik secara terbuka kerana didakwa menjadi penyebab kekalahan Umno di Kelantan.

6. Dalam Perhimpunan Agung Umno itu juga perwakilan Umno meminta supaya harta raja-raja Melayu disiasat. Laporan ini disiarkan oleh utusan Malaysia pada muka surat depan. Tidakkah ini derhaka namanya?

7. Satu demonstrasi dan menghantar memorandum kepada Sultan Kelantan telah dibuat oleh pemimpin Umno Kelantan. Kenapa FRU tidak tembak gas pemedih mata serta menangkap penderhaka-penderhaka Umno?

8. Pada 18 Januari 1993 Umno membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan raja dihadapkan ke Mahkamah Khas. Apabila raja-raja Melayu meminta menangguhkan pindaan tersebut Umno melancarkan kritikan terbuka terhadap salah laku raja-raja.

9. Pada tahun yang sama juga beberapa siri rapat umum haram Umno dibuat di Alor Setar, Bagan Datoh, Seremban, Batu Pahat dan Melaka untuk menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad dan mengecam raja-raja Melayu.

10. Tengku Razaleigh Hamzah dengan sinis mengatakan mana satukah yang lebih merbahaya: Pindaan 1993 atau tindakan rakyat tidak menunjukkan hormat kepada Sultan Perak pada 6 Februari 2009? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Karpal Singh mahu menyaman Sultan Azlan Shah tetapi beliau juga menyatakan Karpal membuat suatu perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan tahun 1993. Tiba-tiba sekarang Umno pula menjerit marah kepada Karpal. Sepatutnya orang Umno pun kena buat demonstrasi depan pejabat Umno kerana pemimpin merekalah yang menjatuhkan martabat raja sehingga boleh diheret ke mahkamah kata Tengku Razaleigh.

11. Peristiwa pertabalan Tengku Ibrahim Inderaputera untuk mengganti Sultan Ismail Petra pada 29 April 1993 di bawah pokok ketapang di Ketereh, Kelantan oleh Datuk Seri Annuar Musa. Kalau ini bukan sesuatu yang amat memalukan atau derhaka dan kurang ajar, apa namanya?

12. Kenyataan biadap Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis yang mengatakan beliau mempunyai bukti Sultan Kelantan sekarang tidak layak menduduki takhta.

13. Tan Sri Muhammad Muhammad Taib mendakwa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "derhaka". Lupakah dia siapa yang melarikan Ku Yah, puteri Sultan Selangor sampai baginda murka? Tidakkah ini perbuatan derhaka?

14. 23 daripada 24 Adun Terengganu mengugut untuk memboikot majlis angkat sumpah datuk Ahmad said selepas pilihan raya umum 2008. Mereka buat kenyataan terbuka menyanggah pihak istana dan mahu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar. Manakala penyokong Umno pula mengatakan Sultan sebagai binatang pada kain rentang. Kenapa polis menangkap mereka yang hanya berdemontrasi di hadapan istana Kuala Kangsar pada 6 Februari 2009 sahaja?

15. Datuk Seri Shahidan Kassim memboikot perlantikan Datuk Seri Dr Mohd Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis, bukankah ini derhaka namanya?

Wednesday, April 1, 2009

Fitnah dan ugut kepada Nizar dalam blog

 BUKIT GANTANG, 31 Mac - Pilihan raya kecil Bukit Gantang kini dicemari dengan fitnah dan ugutan melalui blog-blog dan website-website yang tidak diketahui kepunyaan siapa. Sebelum dan selepas penamaan calon banyak blog baru yang wujud bertujuan mengugut dan memfitnah calon Pakatan Rakyat dan PAS di dalam pilihanraya Bukit Gantang, YAB Hj Nizar Jamaludin.

Semalam Dato' Mustafa Ali meminta para Penyokong Pakatan Rakyat supaya bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan. "Permainan blog seperti ini sudah melampaui batas. Saya tidak kata siapa yang melakukannya tetapi apa yang penting perkara ini bukannya datang dari Pakatan Rakyat ataupun penyokong kami" ujar beliau.

Blog-blog ini juga cuba melaga-lagakan para penyokong Pakatan Rakyat memfitnah kononnya penyokong Ustaz Idris kecewa kerana beliau tidak dapat bertanding.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menafikan sekeras-kerasnya kononnya beliau kecewa tidak dipilih mewakili PAS di dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang. "Saya sendiri sudah berada berkampung di Bukit Gantang sehinggalah pilihan raya tamat" tegas beliau ketika dihubungi.

Ustaz Idris juga berkata bahawa beliau kini telah turun menemui saudara-mara dan memberikan motivasi kepada petugas-petugas dan pengundi-pengundi untuk memastikan Barisan Nasional hilang deposit.

Blog-blog ini juga menggunakan satu lambang dengan nama "Bloggers Pembela Negara" dan slogan "satu suara, saru arah, satu akidah". Diantara alamat blog-blog tersebut ialah http://perakbangkit.blogspot.com, http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com, dan lain-lain lagi.

Blog-blog yang tidak diketahui kepunyaan siapa ini juga mengugut Nizar dengan perkataan-perkataan seperti "Kill Nizar!!", "Nizar Penderhaka", Nizar Celaka" dan bermacam-macam lagi dan yang paling teruk sekali, terdapat gambar-gambar lucah dengan tujuan mengutuk dan menghina Hj Nizar.

Saya dan blogger2 yang lain akan menentang sekeras-kerasnya amalan terkutuk ini.Ingatlah,Allah akan membalas setiap apa yang dilakukan.LAWAN TETAP LAWAN !!!!!!!!!!!

Nizar Masuk Bilik Gerakan BN.UMNO Bila lagi????









Calon PAS, Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin memasuki bilik gerakan BN Arif (Angkatan Rakyat Insaf) ketika berkempen di simpang Pekan.Ternyata ramai yang terkejut dengan perkembangan ini khususnya jentera BN yg seolah-olah hilang arah dan tujuan kini.Cuba kita lihat calon2 BN yang bertanding,adakah mereka juga mengikut jejak langkah yang sama seperti Nizar?.

Jelas,hanya 'anak jantan' yang berani sahaja mampu melakukan demikian.Memang tidak dinafikan bahawa kempen2 pilihan raya perlu dikhususkan kepada rakyat di 3 buah kawasan negeri amnya.Namun,tahukah anda bahawa,ada dalam kalangan petugas pilihanraya juga layak mengundi?.Sungguh menakjubkan taktik Nizar yg juga ingin memancing undi petugas BN sendiri.Segalanya tidak mustahil berlaku jika petugas BN berpaling tadah.Hidayah itu bukan milik manusia tapi datangnya dari Allah.Sama-samalah kita doakan.Amin.......

Cerita dari Bukit Gantang

Kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gantang semakin hebat. Parti-parti yang bertanding masing-masing sibuk mengatur pelbagai program untuk memikat pengundi bagi memenangi pilihan raya ini. Maka timbullah bermacam-macam cerita menarik di sini yang sebahagiannya menjadi pengalaman baru bagi para petugas yang bertugas di sini.

Antara cerita yang saya ingin kongsikan bersama di sini ialah bagaimana sikap penyokong Umno/BN dan pendekatan yang diambil bagi 'melembutkan' hatinya.

Di sebuah taman perumahan dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang ini, sekumpulan para petugas PAS diamanahkan untuk bertugas di situ. Taman yang menempatkan lebih 600 unit rumah kediaman itu majoritinya adalah penyokong Umno/BN. Di taman itu terdapat sebuah surau yang turut dikuasai oleh Umno/BN. Bagaimanapun, daripada enam orang imam di situ, dua orang daripadanya adalah penyokong PAS. Tetapi hanya seorang daripadanya sahaja yang bertugas, sementara seorang lagi tidak pernah bertugas.

Petugas PAS menyewa di salah sebuah rumah di taman itu yang jaraknya kira-kira 200 meter dari surau. Setiap lima waktu, mereka akan datang bersolat di surau itu. Pada mula-mula mereka datang, mereka tidak dilayan mesra oleh orang-orang Umno (terutamanya imam) yang berjamaah di surau itu apabila diketahui bahawa mereka adalah orang PAS. Walaupun semuanya bersalaman selepas solat, tetapi muka mereka tetap masam mencuka, langsung tidak memberikan reaksi senyuman kepada petugas PAS ini.

Para petugas PAS tetap istiqamah untuk terus bersolat di situ walaupun dilayan sebegitu rupa. Mereka tetap sabar untuk melaksanakan tugas mereka, kerana mereka yakin bahawa Allah pasti menolong hamba-Nya yang menolong agama-Nya.

Masuk hari ketiga, suasana sudah mula berubah. Imam yang sebelum ini tidak pernah senyum, sudah mula menyapa dan melemparkan senyuman (walaupun masih kurang manis) kepada petugas PAS ini. Barangkali beliau telah melihat dan menilai keikhlasan 'puak-puak' PAS ini. Mungkin sebelum ini orang-orang PAS ini (apatah lagi dari Terengganu pula) digambarkan sebagai orang yang memulaukan masjid atau surau Umno, dan tidak bertegur-sapa dengan orang-orang Umno, bahkan bermacam-macam lagi gambaran negatif yang ada di kepalanya.

Petugas PAS terus menunjukkan sifat baik dan mulia kepada semua orang. Bagi mereka inilah cara atau kaedah pendekatan dakwah yang disebut 'lisanul-hal'. Mereka yakin bahawa akhlak terpuji yang ditonjolkan itu akan mampu menarik manusia ke jalan kebenaran.

Mereka juga menziarahi rumah imam tadi sambil membawa buah tangan berupa keropok (trade mark orang Terengganu). Apa yang penting bagi mereka ialah untuk memberikan gambaran yang betul terhadap pandangan serong imam itu terhadap orang-orang PAS sebelum ini. Sekurang-kurangnya imam itu boleh menyangkal dakwaan yang tidak benar mengenai orang PAS jika perkara itu ditimbulkan oleh puak-puak mereka.

Cerita sebaliknya yang kami dapati di sini ialah orang-orang PAS akan dipulau jika mereka menzahirkan 'kePASan' mereka, misalnya memasang bendera di rumah mereka atau membenarkan rumah mereka diadakan aktiviti PAS seperti ceramah dan sebagainya. Orang Umno ini akan memulau majlis kenduri, kematian dan sebagainya. Rupanya ini sebenarnya wajah Umno.

Wednesday, March 25, 2009

Memahami Kapitalisma

Harta kekayaan datang dari tenaga manusia. Harta Qaroon sekali pun ianya terkumpul dari hasil tenaga manusia. Kena loteri pun duitnya berpunca dari tenaga manusia yang telah di tipu. Justeru semua harta kekayaan didalam duna ini adalah hasil tenaga kerja manusia. Sejarah dunia ini ialah sejarah manusia membuat pekerjaan. Tidak ada harta terpijak.


Tulang empat kerat dan otak fikrah manusialah yang melahirkan dunia yang kita lihat hari ini. Semua kebaikan dalam dunia ini adalah hasil perbuatan manusia. Semua kejahatan dan kerosakan alam ini juga adalah hasil kerja tangan manusia.

Apabila manusia bekerja dia melaburkan tiga pekara asas: tenaga, masa dan fikrah. Tiga pekara inilah yang menjadi asas ekonomi. Dari Zaman Batu, ke Zaman Gangsa, ke Zaman Wap, ke Zaman Leterik, ke Zaman Nuklear hingga ke Zaman Internet hari ini – yang menjadi asas ekonomi masih lagi tiga perkara ini.

Semua harta kekayaan – dalam apa sahaja bentuk - yang di miliki oleh sesiapa pun didalam dunia ini tidak dapat tidak berpunca dari tiga asas ini.

Pak Tani ke sawah – dia membanting tulang – menghabiskan masa dan tenaga untuk menghasilkan padi dan beras. Dia menggunakan akal fikiran untuk mencari masa dan ketika yang baik untuk menyemai, mengubah, merumput dan menuai padi. Pak Cik Felda bertungkus lumus menanam sawit, membaja pokok, memotong buah dan mengumpul buah. Pak Cik Felda juga menggunakan akal fikiran tentang cara terbaik untuk membaja, menarah pokok dan memilih buah.

Tiga pekara ini tidak akan lari sebagai asas ekonomi – masa , tenaga dan fikiran.

Jika sesiapa yang telah membaca buku The Godfather tulisan Mario Puzo akan bertemu dengan ayat – di belakang semua kekayaan ialah jenayah. Kata-kata ini ada unsur-unsur kebenaran. Semua manusia yang kaya raya didalam dunia mendapat harta kekayaan hasil dari merompak – tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Towkay atau Tok Peraih yang membeli padi dari Pak Tani akan membelinya dengan harga yang murah. Ertinya Tok Peraih membeli dengan harganya yang tidak setimpal dengan nilai masa, tenaga dan fikiran Pak Tani. Tok Peraih akan menjual padi ini sekali lagi dengan harga yang tinggi – ini dipanggil untung. Untung ini sebenarnya ialah nilai lebihan hasil dari tenaga, masa dan buah fikiran Pak Tani yang menanam padi.

Padi yang telah menjadi beras ini akan bertukar tangan sahingga sampai kepada pengguna. Dalam perjalanan dari sawah ke meja makan - orang-orang tengah ini menokoh tambah nilai harga tenaga asal titik peloh Pak Tani. Si Pengilang, Si Pembungkus, Si Pengangkut, Si Pengiklan dan Si Peruncit – semua ini adalah orang tengah yang hidup kaya raya diatas titik peluh Pak Tani.

Orang-orang tengah ini berligar-ligar memusing-musing perniagaan untuk mendapat keuntungan maksima. Justeru – Pengilang beras jadi kaya, Pengedar beras jadi kaya atau Pembekal beras jadi kaya. Jangan terperanjat ada diantara peniaga beras – di Bursa Saham Wall Street New York atau City of London - tidak pernah melihat sawah dan padi tetapi mereka kaya raya berniaga padi dan beras. Yang terus miskin ialah si Pak Tani. Ini lah satu contoh dalam sistem ekonomi kapitalis dimana harta kekayaan boleh dibuat dengan menggunakan tenaga, masa dan fikiran orang lain.

Mekanisma yang dikatakan menilai harga padi dari Pak Tani ialah Pasaran atau Market. Ini sebenarnya satu pembohongan. Pasaran ini di kawal oleh tuan-tuan pemodal sendiri. Tok Peraih, Si Pengedar, Si Pembekal – semuanya memiliki persatuan yang menjaga kepentingan mereka. Dengan modal besar yang terkumpul mereka mengawal harga untuk memastikan mereka terus mendapat keuntungan maksima. Mereka memastikan harga padi atau apa sahaja yang mereka beli akan terus murah dan manakala harga beras atau apa sahaja yang mereka jual untuk pengguna akan terus mahal.

Pak Tani telah dipisahkan dari orang yang ingin membeli beras. Ruang pisah ini telah dimasuki oleh Orang Tengah atau Lintah Darat yang kerjanya hanya mengaut untung. Untuk mengindah muka hodoh Lintah Darah ini mereka memanggil diri mereka – Ahli Perniagaan, Usahawan, Pemaju, Pengimpot, Pengekpot atau Pengedar. Hakikatnya mereka hidup diatas usaha orang lain.

Kita juga selalu melihat, membaca atau mendengar ada Sang Kontrektor atau Sang Pemaju menjadi kaya raya. Ini bukan bermakna si Pemaju ini hebat, bijak atau dia berjemur dalam panas terik membanting tulang. Apa yang lakukan oleh si Pemaju ialah mencari tenaga kerja buruh termurah. Kerana itu di Malaysia kita mengimpot buruh dari luar negara untuk membayar upah tenaga kerja dengan murah.

Kita panggil ini gaji. Gaji ialah pertukaran masa, tenaga dan fikrah si Buruh yang membuat kerja. Jumlah duit yang dibayar untuk pertukaran ini akan dinilai oleh si Pemaju. Si Pemaju sama seperti Tok Peraiah akan menilai masa, tenaga dan fikrah Buruh ini dengan nilai yang terendah. Gaji yang murah akan menjanjikan keuntungan yang lebat untuk si Pemaju. Justeru si Pemaju binaan tidak akan mengambil buruh dari New Zealand atau Sweden – tidak mungkin – mereka mengambil dari Indonesia, Burma dan Nepal.

Harus kita sedari bahawa seorang buruh Sweden keupayaan kerjanya adalah sama dengan buruh dari Nepal atau Indonesia. Tetapi ada perbezaan bayaran. Perbezaan bayaran ini untuk memastikan si Pemaju mendapat keuntungan yang maksima. Rumah atau bangunan yang di dirikan oleh tenaga buruh dari Indonesia atau Nepal dapat dijual dengan keuntungan lebih banyak. Keuntungan berlaku kerana tukaran tenaga, masa dan fikrah itu tidak setimpal dengan nilai tenaga pemburuhan itu.


Justeru terbukti Si Kontrektor dan Pemaju jadi kaya raya bukan kerana mereka hebat tetapi kerana mereka hidup mengumpul titik peluk dan tenaga beratus-ratus kaum buruh yang kemudiannya dijadikan keuntungan dan modal. Lagi ramai tenaga buruh yang di gunakan lagi besar modal yang dapat di kumpulkan.

Jika kita telah memahami asas dari mana punca modal dan keuntungan datang maka amat senang untuk kita memahami kenapa pula negara-negara Dunia Ketiga – Asia, Afrika dan Latin Amerika terus miskin dan susah. Dari sini kita juga akan faham kenapa Eropah, Jepun, Amerika, Canada dan Australia terus menjadi kaya dan dapat mengumpulkan modal untuk warga mereka hidup lumayan.

Dalam konteks ekonomi kapitalis global - semua negara-negara Dunia Ketiga tarafnya samalah seperti Pak Tani dan Buruh Imigran. Malaysia, Singapura dan China ini adalah buruh-buruh imigran. Thailand, Cina, Indonesia, Vietnam adalah Pak Tani yang mengeluarkan makanan. Hasil dari sistem ini warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika terus hidup dalam kemiskinan. Tenaga, masa dan fikrah warga di negara-negara ini di nilai dengan rendah justeru upah untuk masa, tenaga dan fikrah mereka amat sedikit.

Dalam sistem kapitalis ini, yang mendapat kekayaan adalah kaum pemodal antarabangsa yang berpusat di New York, Paris dan London. Kaum pemodal antrabangsa ini mengajukan kepada kita semua agar menggunakan sistem ekonomi kapitalis yang telah mereka cipta. Warga di Asia, Afrika dan Latin Amerika di taburkan dengan pelbagai tipu helah dan paksaan agar menerima sistem ekonomi kapitalis tanpa apa-apa pilihan. Kaum pemodal Anglo-Amerika mengatakan bahawa tidak ada sistem ekonomi yang lain melainkan sistem kapitalis. Ini bohong.

Jadi dalam konteks ekonomi kapitalis global, kita di Malaysia dilihat sebagai buruh imigran oleh kaum pemodal Anglo-Amerika. Justeru, buruh imigran tidak memiliki banyak hak. Buruh imigran ini selalu ditakut-takutkan dengan pelbagai undang-undang dan akta. Mereka tidak ada kesatuan yang ampuh untuk memperjuangkan hak mereka.

Buruh imigran ini tidak mungkin akan dapat mengubah dam memperbaiki hidup dalam sistem yang ditaja oleh Tuan Empunya Modal atau Kilang. Sebagai buruh kilang kita akan terus mendapat gaji yang rendah. Kita tidak akan memiliki kualiti kehidupan yang lumayan untuk kita memperluaskan keupayaan diri sebagai insan untuk membuat kebaikan. Malah kita juga dilarang untuk berilmu dan berfikiran bebas.

Seperti Pak Tani di Kuala Muda Kedah hidup mereka akan berterusan dalam kemiskinan kerana Tok Peraih Beras dan Tuan Punya Kilang Beras tidak akan membenarkan Pak Tani ini faham akan susur galur perjalanan sekampit padi itu. Pemodal pemodal antara bangsa di Bursa Saham Wall Street dan City of London tidak akan membenarkan Pak Tani dan Buruh Kilang mengubah cara urus niaga ini. Mereka menyediakan mandor-mador yang ganas untuk memastikan sistem ekonomi ini berteruskan.

Di Malaysia mandor yang telah di pilih oleh kuasa pemodal Anglo-Amerika semenjak tahun 1957 ialah gerombolan United Malays National Organisation. Mana mungkin Tok Peraih dan Sang Pemaju dan para mandor ini mahu berubah sistem kerana sistem kapitalis ini telah memberi memberi mereka keuntungan maksima dan modal yang melimpah tanpa mereka membanting tulang bekerja. TT

Islam Awang Liku Versi Najib Ganti Islam Hadhari

" Patutkah kita semua memberikan ucapan tahniah kepada Dato Seri Najib Tun Razak yang dikatakan akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam tidak lama lagi.

Benar kata Dato Seri Presiden PAS, pemimpin macam ini belum dapat kuasa dah tunjuk jahat. Beliaulah satu-satunya bakal PM yang terlibat dengan begitu banyak skandal dan salah laku dan yang paling besar kaitan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh dengan kejam 2 tahun yang lalu. Siapa boleh beritahu kita semua apakah lagi dosa bakal PM selain tuduhan makan komisyen kapal selam dan pesawat pejuang sukhoi bernilai RM 900 juta.

Sekali lagi rakyat bertanya patutkah Pak Lah lantik Dato Seri Najib sebagai PM yang keenam. Mungkin dihati kecil Pak Lah sekarang berbisik semuanya sudah terlambat.

Senyuman Pak Lah sekarang dikirakan sebagai senyum sumbing yang menyimpan pelbagai cerita hiba kerana kata orang Pak Lah tidak akan khianat kepada parti Umno kesayangannya, tetapi khianat pada rakyat bukankah lebih parah.

Semasa Pak Lah naik jadi PM kelima dahulu beliau menggagaskan Islam Hadhari sebagai agenda negara dan pasti tidak lama lagi 10 prinsip Islam Hadhari ini akan dimuziumkan di Muzium Kesenian Islam atau dilongkang sahaja?

Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu adalah orang yang lantang bersuara mengatakan Islam Hadhari adalah kosmetik Pak Lah dan kalau orang baru naik jadi PM, Islam Hadhari akan digantikan dengan Islam Awang Liku versi Najib.

Kenapa Islam Awang Liku? Kerana Najib bukan ada asas agama yang lengkap, kalau cakap tentang Islam banyak diragukan, tak mustahil dia akan belajar dari Tun Mahathir. Perkembangan gerakan Islam dan dakwah itu sendiri akan semakin berliku.

Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas ini akan digelar Tun Abdullah Ahmad Badawi menunjukkan beliau seorang negarawa, tetapi benarkah beliau seorang yang berjasa besar kepada negara kita Malaysia...

Pak Lah belum terlambat melantik orang lain sebagai PM...

Sunday, March 15, 2009

Wasiat Al-Banna ke-8, Jauhi bicara aib orang lain

"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata Hasan al-Banna.

Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri.

Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.

Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.

Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.

Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.

Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri hati.

Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.

Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna.

"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."

Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.

Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya.

Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.

Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya.

Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.

Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"

Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.

Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.

Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]

Perbaiki hubungan persaudaraan
Maka, wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan dasarnya digali daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai moral dan akhlak yang sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam seluruhnya.

Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata.

Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu, mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.

Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.

Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan pendidik di dunia.

Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua, merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.

Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan lain-lainnya.

Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada masa hadapan.

Berkatalah yang baik-baik sahaja
Akhirnya Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.

Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia. _

Kronologi Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW :

".:: 1988 ::.

Salman Rushdie menghina Nabi saw dalam karyanya “The Satanic Verses”.
Kerajaan British menganugerahkan pengurniaan pingat ‘Knigh Bachelor’ (membawa gelaran Sir) kepada penulis novel ‘Surah Syaitan’ kelahiran India, Salman Rushdie dilihat sebagai satu tindakan yang tidak wajar.

Penulis buku “ The Satanic Verses” yang menghina Islam dan Rasulullah SAW menerima anugerah tersebut dalam satu majlis sempena ulangtahun kelahiran Ratu Elizabeth II yang ke-81.

Ia satu tindakan yang menghina Islam kerana tindakan tersebut sebagai tanda kerajaan Britain berbangga dengan pencapaian buku “The Satanic Verses”. Seharusnya ia tidak dipersetujui oleh umat Islam seluruhnya, kerana melambangkan betapa sensitiviti kita dalam beragama terus cuba diperkotak katikkan oleh musuh Islam.


Salman Rusdie, 60, anak seorang Muslim dilahirkan di Bomby pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja Jhon Conon kemudian di King Kolej, Cambridge.


Pada tahun 1988 dia menulis novel ‘The Satanic Versus (surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.


Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Rupblik Islam Iran, Ayotullah Khomieni mengeluarkan fatwa supaya Salman Rusdie dihukum bunuh, Sejak itu Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.


.:: 1990-an ::.

Taslima Nasreen (warga Bangladesh) menghina Nabi saw dalam karyanya dan hidup mewah hasil jualan karyanya.

Haidar Bin Haidar (syria bermustautin di Mesir) memasukkan keluarga Nabi sebagai watak dalam novelnya dan menghina mereka.
Seorang editor akhbar “nigeria This Day” telah menghina Nabi dalam kolumnya dengan mengatakan Nabi akan membenarkan pertandingan ratu cantik di Nigeria dan memilih salah seorang sebagai isterinya.


.:: 1997 ::.

Tatyana Suskin (wanita yahudi) membuat dan menyebarkan 20 poster yang menghina Islam dan nabi , antaranya gambar seekor babi.


.:: 2000 ::.

Farish Noor menulis artikelnya “Let Islam lead the way with its progressive View on Sexuality” dalam New Straits Times menghina Nabi.


.:: 2002 ::.

Islama Daniel (jurnalis Nigeria) menulis tentang Rasul dan Miss World. Pertandingan itu adalah untuk memperlekehkan pelaksanaan syariah Islam di Nigeria.


.:: 2004 ::.

Theo Van Gogh (producer filem) menghina Islam dan Nabi saw dalam sebuah dokumentari atas dasar kebebasan berkarya.


.:: 2005 ::.

Akhbar Denmark “Jylands Posten” menerbitkan kartun Nabi sebagai pengganas yang tidak berakhlak.Akhbar2 dari Jerman, Perancis, Belanda, Itali dan Sepanyol turut mengeluarkan kartun yang sama untuk menyokong tindakan akhbar denmark itu.

“Sarawak Tribune” menyiarkan kartun menghina Nabi .

“Guang Ming Daily’ mengeluarkan foto akhbar yang menyiarkan karikatur itu.

“New Straits Times” menyiarkan kartun lain yang menghina Islam dan Nabi saw.


.:: 2007 ::.

Salman Rushdie mendapat gelaran “ SIR” dari kerajaan British atas karyanya “The Satanic Verses”

Thursday, March 12, 2009

Siapa Derhaka?

Isu PPSMI masih belum reda.Walaupun saya tidak berkesempatan mengikuti demonstrasi di hadapan Masjid Negara,namun saya lihat semanagat yang ditunjukkan rakyat Malaysia bg memperjuangkan Bahasa Melayu cukup mengkagumkan.Disembur water canon,gas pemedih mata dan berbagai-bagai provokasi dari pihak polis,namun mereka tidak gentar untuk tunduk kepada tekanan itu.Jika pihak kerajaan masih dengan sikap 'berkeras' dengan rakyat,nescaya tunggulah amarah rakyat menjelma.Sepatutnya,mereka tidak dilayan sebegitu rupa sebaliknya dibenarkan untuk menghantar memorandom ke Istana Negara.Mereka hanya ingin menghantar beberapa helai kertas yang menunjukkan suara rakyat Malaysia bukan ingin melakukan jenayah seperti merompak,menyamun, atau sebagainya.Persoalanya kini siapa derhaka siapa? Jika kerajaan yang lantang membela nasib melayu,bahasa yang menjadi warisan turun temurun pula dinodai di bumi sendiri.Ya,mereaka yang bersungguh-sungguh membuat demonstrasi di seluruh negara membantah peguam terkemuka,Karpal Singh ingin menyaman sultan perak,namun apabila bahasa kita kini hanya tinggal nama,mereka mendiamkan diri.Hero laporan polis dahulu kini membisu seribu bahasa.Mana panglima-panglima perang yang hebat dengan laporan polis? Saya sungguh sedih dan malu dengan bangsa saya kini.Mereka seolah-olah hipokrit dan hanya pandai mencari publisiti.Kembalilah kepada Allah dan rasul dan sentiasalah bertaqwa.Allah tidak melihat bangsa seseorang itu tetapi melihat agama seseorang itu.Jika mereka mengatakan PR di Perak sebagai penderhaka kepada sultan,sebenarnya merekalah perderhaka kepada bangsa mereka sendiri.