Followers

Friday, December 26, 2008

Sambut Tahun Baru: Jangan Jemput Murka Tuhan

Beberapa hari lagi kita memasuki tahun baru 2009. Menjadi kebiasaan, sambutan tahun baru diserikan dengan 'countdown' dan tentunya konsert.

Kita melangkah ke tahun 2009 dalam keadaan ekonomi Malaysia dan dunia masih terumbang-ambing. Ramai yang hilang pekerjaan. Ramai yang merintih tentang kos hidup yang tinggi. Ramai yang masih belum dapat pulang dengan selesa ke rumah masing-masing di Bukit Antarabangsa. Ramai pula yang rungsing dengan tempat tinggal mereka di cerun bukit yang berisiko.

Pendekata kita melangkah ke tahun 2009 tidak dengan 'langkah bergaya' tapi penuh dengan cerita-cerita muram.

Sambutan tahun baru yang biasanya diserikan dengan countdown dan konsert itu seakan-akan tidak merasai sama denyut nadi mereka yang derita dan susah. Yang ditonjol dan ditunjukkan hanyalah kegembiraan yang sementara di malam itu sahaja. Selesai konsert sambut tahun baru, maka muncullah cerita ditemui kondom, anak muda berpelseran dan cerita yang tidak enak didengar. Sembilan sepuluh bulan kemudian, pergilah ke hospital untuk mendengar cerita anak yang dilahirkan tanpa bapa. Enakkah cerita-cerita ini?

Saya ingin mengesyorkan pihak-pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri, pihak media dan mereka yang bercadang mengadakan sambutan tahun baru nanti supaya peka dengan sensitiviti agama dan kehidupan masyarakat kita.

Sambutan Maal Hijrah baru berlaku sehari dua sebelum itu, kemudian dicemari dengan program yang melalaikan pula?
Apa salahnya kita sambut tahun baru dengan bacaan Yaasin, solat hajat (bagi mereka yang beragama Islam) sambil berdoa kemakmuran terus diperolehi, dijauhkan dari bala bencana dan ekonomi yang baik.

Adapun menyambut tahun baru dengan acara yang sekian lama telah dibuat, maka ia bukanlah budaya asal orang Melayu Islam, atau budaya masyarakat India dan Cina, cuma kita terikut-ikut dsengan budaya Barat. Bahasa mudahnya-'hedonisme'. Yang seronok nanti hanyalah muda-mudi yang kekadang tak pernah tahu tentang penderitaan orang lain.

Kalau ada peruntukan besar untuk program yang sedang diatur untuk sambutan tahun baru, saya syorkan supaya ia disalurkan kepada perkara lebih bermanfaat untuk golongan yang lebih memerlukan dari menghabiskannya kepada bunga api atau bayaran untuk artis.
"

1 comments:

a.k.u.p.e.n.t.o.i said...

sebenarnya perlu ada keseimbangan..

Post a Comment