"Kadang-kadang terfikir di benak hati ini apakah diri ini layak menjadi ahli Syurga atau sebaliknya. Walau dah ditempatkan oleh Allah sebagai ahli sebuah jamaah yang memperjuangkan Islam, namun amat terasa sekali yang diri ini tiada memberi apa-apa sumbangan pada perjuangan yang suci lagi diredhai ini. Kadang-kadang merasa malu sendiri dan kerap tertanya apakah pengorbanan yang telah kuberikan selama ini. Sudahkah aku melaksanakan tanggungjawab dan amanah sebagai ahli Parti Islam ? Apakah kepentingan dunia masih mendahului keutamaan Akhirat ? Bagaimana pula penilaian Allah terhadap diri ? Dan pelbagai persoalan bermain di kepala ?
Dan memang jelas tak layak untuk nak bandingkan diri ini dengan segala pengorbanan dan jerih payah Baginda Rasulullah S.A.W. dan para sahabat dalam nak menyampaikan risalah Allah serta mengajak umat manusia mentauhidkan-Nya.
Terkenang bagaimana Rasulullah dibaling dengan batu, dimaki, dituduh melakukan sihir, gila dan pelbagai lagi tohmahan yang dilemparkan oleh para pemimpin Musyrikin Mekah ketika itu. Namun insan teragung utusan Allah ini tidak pernah merasa takut, susah, keluh-kesah dalam menghadapi ujian dan halangan yang begitu hebat. Hingga pernah ada cubaan untuk membunuhnya. Walau apa jua jenis halangan dan ancaman yang timbul, namun Rasulullah tetap terus mara berhadapan dengan golongan toghut dan pembesar Mekah ketika itu bagi menyampaikan seruan Ilahi yang haq.
Walau pelbagai jenis fitnah dan tribulasi yang dihadapi Baginda, namun untuk nak mengundur setapak tidak sekali-kali. Apa yang penting perintah Allah mesti dilaksanakan segera dalam apa jua keadaan sekalipun. Samada pihak penentang mahu menerima atau tidak seruan yang disampaikan, itu bukan persoalannya sebab hidayah adalah urusan Allah. 4 sifat terpuji Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah yang ada pada diri Rasulullah telah berjaya menarik sebahagian kecil dari penduduk Mekah memeluk agama Tauhid ini.
Cahaya Islam milik mutlak Allah tetap bersinar juga akhirnya walau datanglah sebesar mana tentangan sekalipun.
Kemudian Rasulullah menerima wahyu daripada Allah yang memerintahkan Baginda berhijrah ke Madinah bersama golongan yang telah beriman. Peristiwa besar Hijrah ini merupakan titik-tolak kepada era kebangkitan Islam pertama bila Rasulullah bersama sahabat serta sokongan padu golongan Ansar dan Muhajirin berjaya menegakkan Daulah Islamiyah (Negara Islam) pertama Madinah. Dengan tertegaknya Negara Islam pertama Madinah dan diikuti pula kejayaan menawan semula Kota Mekah, selepas itu Islam terus tersebar luas dan menakluki 2/3 wilayah dunia ini.
Apakah resepi kejayaan Baginda Rasulullah S.A.W., para sahabat, auliya', tabiin, solifusoleh, waliyullah dan golongan mu'min dalam meneruskan kesinambungan kecemerlangan dan kegemilangan Islam ini ? Sudah tentu jawapannya adalah dengan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T. Melaksanakan seluruh isi kandung Al-Qu'ran dan Sunnah. Pada zaman kegemilangan ini, umat Islam amat digeruni dan dihormati oleh pihak musuh. Walau pelbagai cubaan musuh untuk nak menjatuh dan menyekat pengaruh Empayar Islam namun semuanya gagal.
Sifat-sifat kekasih Allah ini antaranya kenal Allah (cinta hakiki), kasih pada Rasulullah, tidak takut mati (cintakan syahid), utamakan Akhirat, mengasihi sesama mu'min tetapi tegas terhadap musuh.
Apakah di dalam negara kita juga ada mujahid yang mempunyai ciri-ciri sedemikian ?
Ya, memang ada. Assyahid Ustaz Ibrahim Libya dan para pengikutnya yang setia.
Peristiwa berdarah Memali membuktikan kepada kita betapa gerunnya kerajaan toghut UMNO di bawah regim Mahathir terhadap pengaruh dan ketegasan Assyahid menyeru umat Islam kembali kepada Aqidah Islam yang murni. Dalam hal yang menyentuh perkara Aqidah, Assyahid tiada tolak ansur dan tidak takut pada sesiapa pun, hatta pada keluarganya sendiri.
Walau di mana saja beliau berpidato, samada di hadapan ribuan manusia atau beberapa orang saja namun nadanya tetap sama. Tegas dan jelas berlandaskan Al-Qur'an dan Sunnah. Dalam setiap pidatonya, assyahid sering memperingatkan kepada masyarakat Islam akan tanggungjawab masing-masing tanpa mengira kedudukan atau pangkat. Terutama kepada mereka yang cuba menghalang kebangkitan Islam yang didokong oleh PAS. Antara ucapan-ucapan yang sering ditegaskannya ialah ;
"Samada yang bekerja sebagai petani, buruh kasar atau di pejabat swasta atau pejabat kerajaan, samada yang bekerja sebagai UKK, polis pacak, askar atau tentera atau FRU, kita mengingatkan kepada mereka ini bahawa kamu juga mengucap dua kalimah syahadah itu. Ketika kamu telah menjadi seorang Islam, maka janganlah cuba menyekat perjuangan kami di dalam Parti Islam (PAS) ini untuk menegakkan syariat Allah dan kalimah Allah yang tinggi. Jika disekat, kami akan tentang kamu dan jika kami mati atau gugur, maka gugur kami sebagai syahid dan kamu pula dalam hal ini mati katak semata-mata, mati sia-sia. Kepada orang-orang Islam yang menjadi alat kepada kerajaan toghut dan zalim, kamu diingatkan berkali-kali mengenai tindakan Allah ke atas kamu kelak".
Assyahid juga sering menegaskan bahawa di antara pendokong Islam dan pendokong nasionalisma/sekularisma mesti ada garis pemisahnya dalam semua hal. Tidak kira siapa mereka, jiran atau kaum keluarga. Bagi Assyahid, sekiranya dasar pemisahan ini tidak terlaksana, maka selagi itulah Daulah Islamiyah tidak akan tertegak. Antara pandangan yang pernah beliau tegaskan adalah ;
"Maka pada ketika itu golongan yang hendak pada Islam dan golongan yang menentang Islam itu terasing dan terpisah. Maka sekarang ini tidak wujud lagi ciri-ciri seperti itu. Sekarang ini wujud golongan yang masih hendak berdamai dengan musuh-musuh Islam dengan alasan tidak mahu memecah-belahkan masyarakat. Adakah orang sedemikian rupa boleh berperang pada jalan Allah atau boleh mencapai mati syahid ? Sejauh manakah keikhlasan kita dalam menegakkan Aqidah dan keimanan kita kepada Allah dan Rasul-Nya".
Ketegasan Assyahid bukan setakat kepada pihak pemerintah atau para penyokong UMNO saja tetapi juga kepada pendokong Islam, hatta PAS sekalipun. Begitu juga keluarganya. Beliau sering menekankan kepada semangat juang yang tinggi dan keikhlasan diri dalam perjuangan. Antara yang disebutkan dalam tamrinnya yang terakhir ialah ;
"Kita hendak basuh hati dan jiwa kita dengan jihad pada jalan Allah. Golongan yang masih berkarat dengan penyakit dunia (hubud dunia) itu, keluarlah dari Parti Islam (PAS). Kalau hendak cari kesempatan dengan Parti Islam, tidak payahlah, keluar saja, buat mati jahiliyah atau mati kafir saja. Janganlah kalau diajak kenduri capat saja pergi tetapi bila diajak bertamrin takut. Sejauh manakah laungan "Allah hu akbar" yang kita kumandangkan ke angkasa dalam mana perjuangan kita masih di takuk lama..."
Sifat ketegasan dan keikhlasan yang ada pada diri Assyahid itulah juga telah membawanya pulang ke pangkuan Allah sebagai syuhada' bersama 13 lagi pengikutnya. Darah syuhada' yang tumpah di bumi Memali pada 19 November 1985 inilah menjadi titik-tolak kepada kebangkitan Islam di seluruh negara.
Hari ini Assyahid bersama 13 rakannya sedang berbahagia di alam Barzakh dan mendapat rezeki berterusan. Syurga sedang menanti mereka di sana. Juga akan bertemu dengan Rasulullah, para sahabat dan syuhada' dan golongan yang beriman dan bertaqwa bagi meraikan kemenangan yang hakiki.
Sejujurnya adalah amat jauh sekali diri ini jika nak dibandingkan dengan keimanan dan ketaqwaan, ketegasan dan keikhlasan Assyahid dalam perjuangan Islam. Ibarat langit dan bumi.
Followers
Sunday, January 10, 2010
Rasulullah, Sahabat, Ust Ibrahim Libya dan Diri Ini...
Posted by Mohd Izzuddin Nazaruddin at Sunday, January 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment