Followers

Wednesday, January 21, 2009

Perdamaian Dengan Israel: Adakah Syara’ Mengharuskannya?

Kekejaman Israel bukanlah perkara baru. Sejak mereka berjaya menguasai wilayah Palestin secara kekerasan dan rampasan, mereka sering sahaja melakukan siri serangan dan kezaliman kepada penduduk Palestin. Dalam pada itu, terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk berdamai dengan Israel. Apakah tindakan perdamaian dengan Israel merupakan sesuatu yang wajar dan dibenarkan oleh syarak?

Sebenarnya, perselisihan yang terdapat di kalangan para ulama’ hanyalah meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan perdamaian antara golongan Islam dan golongan yang memerangi Islam (ahlul harbi). Sebahagian daripada ulama’ melarang keras perdamaian ini, malahan tidak harus untuk bekerjasama dengan golongan yang memerangi umat Islam. Kenyataan ini adalah berdasarkan ayat-ayat Allah yang menyeru supaya berperang dengan golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah kalah dan patuh kepada pemerintahan Islam.

Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 29, maksudnya: “Perangilah orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada Hari Akhirat dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar( agama Allah ), (iaitu orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk”.

Begitu juga firman Allah dalam Surah Muhammad ayat 4 yang bermaksud: “Apabila kamu bertemu dengan orang kafir ( di medan perang ) maka pancunglah leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti”.

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran ini menyeru kepada peperangan terhadap golongan yang memerangi Islam sehinggalah mereka menyerah atau menghentikan peperangan. Sesungguhnya apabila umat Islam masih diperangi oleh mereka, maka tiada perdamaian dan tiada kerjasama dengan mereka.

Manakala ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan golongan yang memerangi umat Islam pula, mereka berhujah bahawa ayat al-Quran yang diturunkan tidak pun menentang perdamaian . Ini dapat dilihat dengan jelas pada permulaan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah”.

Selain daripada itu, Rasulullah juga pernah mengadakan beberapa perjanjian damai dengan musuh-musuh Islam seperti yang terdapat pada Perjanjian Hudaibiyyah di samping beberapa perjanjian yang telah dimeterai oleh Rasulullah dengan puak-puak Yahudi. Inilah sebenarnya hujah-hujah yang telah digunakan oleh segelintir ulama’ dalam menegakkan pendapat mengenai keharusan membuat perdamaian dengan Israel tatkala umat Islam tidak mampu untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam itu.

Sememangnya terdapat para ulama’ yang mengharuskan perdamaian sebagaimana yang terkandung dalam beberapa ayat al-Quran di samping perdamaian yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah sendiri. Akan tetapi harus diingat bahawa ulama’ telah mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah dengan syarat sekiranya umat Islam betul-betul berada dalam keadaan ‘darurat’ serta perdamaian itu akan membawa maslahat dan kebaikan kepada umat Islam sendiri.

Begitu pun, pendapat ulama’ yang mengharuskan perdamaian dengan musuh Islam adalah tidak termasuk perdamaian dengan Israel. Perdamaian hanya berlaku dengan musuh yang mempunyai negara, raja dan pemerintahan sendiri yang mana mereka itu ingin menguasai dan menawan negara-negara lain. Manakala Israel, mereka langsung tidak mempunyai negara, sebaliknya mereka telah merampas tanah umat Islam. Sekiranya perdamaian dilaksanakan dengan mereka, maka ini akan membawa erti bahawa umat Islam menyerahkan bumi mereka kepada musuh yang merampasnya dan seterusnya mengiktiraf kependudukan Israel yang telah dilakukan dengan secara zalim itu. Ini merupakan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun jua!.

Siapakah yang berani mengatakan bahawa perdamaian dengan Yahudi itu mendatangkan maslahah dan kebaikan?. Apakah maslahah yang didapati oleh umat Islam apabila mereka meninggalkan bumi Palestin untuk dicengkam dan dikuasai oleh Yahudi, seterusnya umat Islam Palestin akan menjadi mangsa pelarian di tanahair sendiri. Sudah tentu perkara seumpama ini tidak direstui oleh Allah, Rasulnya serta orang beriman.

Perdamaian dengan Israel merupakan pengkhianatan terhadap Islam dan terkeluar daripada persepakatan umat Islam sendiri. Firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 115 bermaksud: ’Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu [Allah biarkan mereka bergelumang dalam kesesatan] dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali’.

Sesungguhnya umat Islam mestilah meneruskan perjuangan yang jitu untuk mengembalikan bumi Palestin daripada tangan Yahudi yang durjana. Sesungguhnya perdamaian dengan Israel adalah dilarang mengikut syara’.

Oleh itu, umat Islam seluruh dunia mestilah berjihad dan berjuang untuk menyelamatkan Palestin daripada terus dinodai. Kebenaran itu datang dari Allah dan Dialah yang menunjuki jalan hidayah.

1 comments:

Opie Gladrainy said...

Aslkm.

sekali tampil langsung keren yak BLOG nya.

pa kabar nich, salah satu ketua UKMI Daarul Hijrah?

Post a Comment