Followers

Tuesday, May 10, 2011

Rancakkan Tempo Perjuangan

Tulisan Ust Nasaruddin Tantawi

Mengharungi cabaran dan meredah rintangan bukanlah suatu yang mudah bagi seorang pejuang . Terlalu banyak pengorbanan yang ditagih , tenaga yang dikerah , masa yang diperlu , harta yang dituntut dan tanggungjawab yang digalas .

Sikap bersahaja , sambil lewa , tidak prihatin , malas , lesu , tidak peduli , tidak ambil kisah , suka bertangguh dan banyak dalih adalah antara 1001 istilah yang tidak layak dimiliki oleh seorang pejuang.

Malangnya masih ada individu yang mahu dirinya bergelar pejuang tetapi tidak meletakkan dirinya pada landasan yang tepat dan tidak pula meningkatkan prestasi diri agar menepati piawaian seorang pejuang .

Lebih malang apabila ia turun ke medan juang tanpa sebarang persediaan dan tidak pula menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan tanggungjawab atau amanah perjuangannya .

Fenomena ini hanya memulangkan fitnah kepada perjuangan suci dan menimbulkan salah faham yang berpanjangan terhadap kebenaran yang diperjuangkan.

Dewasa kini , fenomena yang saya maksudkan semakin merebak dalam jamaah yang kita dokong ini dan jika ia dibiarkan , pasti sahaja ia akan membarah .

Barah ini mampu melumpuhkan segala saraf dan urat tunjang jamaah kita dalam tempoh yang singkat . Bahkan membawa kemungkinan besar , bahawa jamaah yang dibina sekian lama berteraskan Amal Tarbawi tersasar dan keluar dari nilai dan identitinya sebagai sebuah jamaah atau Gerakan Islam yang tulen , waliyazubillah .

Justeru itu , janganlah dipandang remeh kebimbangan yang saya ketengahkan ini. Harapnya setiap anggota jamaah segera menyedari dan menginsafi perkara ini lantas mengambil langkah wajar dan berkesan untuk kembali merancakkan tempo perjuangan kita yang masih terlalu jauh dari destinasinya.

( Bermula dengan pemimpinnya dari semua peringkat , hinggalah kepada ahli biasa yang baru mengenali erti perjuangan . )

Hidupkanlah kembali semangat berjamaah ( yang jauh dari rasa ego diri dek teruja dengan pencapaian dalam pilihanraya umum ) dengan memelihara prinsip dan asasnya seperti syura , ukhuwwah , tadhiyyah ( pengorbanan ), komitmen terhadap aktiviti jamaei dan sebagainya.

Ceriakan kembali jamaah kita dengan tamrin , mukhayyam , usrah , liqa' fikri , muzakarah dan segala pengisian fikrah , aqidah serta ruhiyyah yang membangkitkan kesedaran dan meningkatkan penghayatan terhadap perjuangan yang didokong.

Janganlah biarkan jamaah ini mendekap telinga ditengah - tengah kebingitan slogan politik para politikus yang tidak berketentuan sehingga menjadikan jamaah ini bagaikan panik berhadapan dengan musuh tradisi yang tidak pernah tinggal diam merancang untuk memusnahkannya.

Saya percaya bahawa saat begini ( pasca PRU 12 ) tidak mudah untuk dihadapi oleh pimpinan terutama yang terpilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri . Tentu sahaja mereka sangat sibuk mengurus tugas dan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat . Memelihara dan mengisi kemenangan nyata jauh lebih sukar dari sebelumnya.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka agar mampu melaksana tugas dengan baik dan cemerlang sekaligus tidak melupakan jamaah yang sangat memerlukan sentuhan fizikal dan spiritual mereka sebagai pimpinan .

Saya melihat apa yang sedang dialui oleh para pejuang Islam hari ini adalah satu tempoh ujian yang tidak boleh dipandang ringan . Kegagalan dalam mengambil dan mengatasi ujian tersebut akan menyukarkan perjuangan ini untuk langkahannya yang berikut.

Pastikan kita tidak tewas menghadapi ujian ini . Berhati - hati dan berwaspadalah menghadapinya. Kita mungkin sudah biasa dengan ujian kalah dan susah maka kita tahu bagaimana menghadapinya malah kita telah berjaya melalui beberapa siri ujian kalah dan susah .

Sementara ujian menang dan senang , inilah buat pertama kali kita mengharunginya. Tidak dapat disembunyikan , ada yang teruja dengan menang dan senang sehingga membuatkan ia hampir lupa asal usul perjuangannya .

Terdapat jua mereka yang menghadapi ujian menang dan senang ini tanpa persediaan yang cukup lalu panik dan terpinga , bagaimana mahu menghadapi dan mengurusnya .

Saya cukup objektif dalam hal sepertinya . Nyata mereka perlukan masa untuk membiasakan diri dan memastikan mereka mampu mengatasi ujian tersebut. Mereka juga perlukan nasihat dan ingatan agar tidak terbuai dan terleka sehingga hampir mereka terlupa jalan ke pintu markas .

Apa yang paling membimbangkan semua pihak bahkan menimbulkan rasa resah dan gelisah dikalangan ahli jamaah yang ikhlas dan tekun berjuang ialah apabila ada dikalangan mereka yang sengaja tidak mahu dinasihati dan tidak boleh ditegur kerana berasa diri telah hebat dan berjaya.

Teguran dan nasihat dianggap ingin mengajar dan mencabar.

Andai masih ada sekelumit ikhlas dalam hati mereka , saya yakin mereka akan insaf dan sedar dari kesilapan mereka dan tidak mungkin mereka berpaling jauh dari tempo perjuangan suci ini.

Nampaknya saya dan seluruh ahli jamaah ini juga memerlukan masa untuk melihat jamaah kita terus rancak dengan para pejuangnya yang faham dan ikhlas serta tinggi pula semangat pengorbanannya.

0 comments:

Post a Comment